Kebebasan Beragama
|
Tindakan terdesak YB Nurul Izzah mahu menyaman Utusan
Malaysia, Berita Harian dan beberapa buah blog bolehlah dilihat
sebagai satu langkah terakhir seorang yang tiada jalan keluar lagi.
Ketelanjuran beliau mengutarakan kenyataan sensitif di
hadapan pengundi-pengundi yang majoritinya bukan beragama Islam dapat kita
lihat sebagai satu lagi bukti betapa manisnya mulut ahli-ahli politik Pakatan
dengan janji-janji dan retorik mereka.
Utusan Malaysia hanya memetik kata-kata Nurul Izzah yang turut dilaporkan dalam portal
pro-pembangkang Malaysiakini hanya menjadi mangsa politik kebencian
yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Walaupun jelas Utusan Malaysia tidak
bersalah kerana ia hanya melaporkan apa yang ditulis di dalam Malaysiakini,
Nurul Izzah terus mengkaburi fikiran rakyat bahawa kononnya Utusan
Malaysia telah menfitnah dan menganiaya diri beliau.
Apabila dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Negeri
Selangor (Jais) untuk menjelaskan kenyataan beliau, Nurul Izzah dengan
bongkak berkata “Ya saya harap Jais panggil Utusan Malaysia sekali
sebab dia keluarkan kenyataan fitnah akidah tersebut.” (Seperti yang
dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today).
Keras sekali perkataan fitnah, namun perkataan inilah
yang sering mewarnai politik Pakatan Rakyat sejak sedekad yang lalu. Taktik
menyalahkan orang lain ini telah terlalu kerap digunapakai sehingga sudah
menjadi satu klise yang basi. Fitnah dan Saman sepatutnya menjadi slogan
Pakatan Rakyat, bukannya Demi Rakyat.
Apa yang pasti, memang jelas beliau telah mengeluarkan
kenyataan yang berbunyi:
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam
beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan
beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna
pakai secara sama rata."
Bukan setakat laporan dan liputan dari pelbagai blog,
bukti video juga telah tersebar luas di internet. Kita boleh lihat dan dengar
betapa kenyataan kontroversi beliau itu telah disambut dengan tepukan gemuruh
dari hadirin yang memenuhi forum “Negara Islam: Versi yang Mana; Siapa
Bertanggungjawab?" di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya pada 3
November lepas, seolah-olah mereka mahu orang
Melayu Islam di negara ini diberikan kebebasan memilih agama mereka sendiri.
Persoalan yang bermain dalam fikiran ramai orang adalah
kenapa Nurul Izzah hanya menyalahkan akhbar Utusan Malaysia dan Berita
Harian, sedangkan portal Malaysiakini adalah media pertama yang
melaporkan perkara tersebut? Jelas Nurul Izzah mengamalkan amalan selective
prosecution.
Liputan tentang kenyataan Nurul Izzah itu juga telah
disiarkan dalam portal berita Free Malaysia Today dan laman web 1Christians.
Bukankah sepatutnya beliau juga menyaman Malaysiakini, Free
Malaysia Today dan iChristians juga? Sikap jumud sebegini jelas
menjadi modus operandi dalam kalangan mereka dalam Pakatan Rakyat.
Peguam dari Majlis Peguam yang bertanyakan soalan itu
kepada beliau juga telah mengeluarkan kenyataan dan mengakui bahawa memang
benar Nurul Izzah telah mengeluarkan kata-kata itu. Malahan peguam tersebut merasa kecewa kerana Nurul
Izzah seolah-olah tidak mengakui apa yang beliau sendiri kata selepas berita
ini menjadi sensasi dan Nurul Izzah menerima kecaman hebat dari setiap sudut
termasuk dalam kalangan penyokong PAS dalam Pakatan Rakyat.
Sikap hipokrit dan menuding jari yang sering dibawa
oleh ahli-ahli politik Pakatan ini harus segera dibendung. Mereka bermain
persepsi dan sedar bahawa orang ramai amat mudah terpengaruh.
Mereka hanya perlu menafikan apa yang telah mereka buat
atau kata, dan kemudiannya menyalahkan orang lain. Walaupun ada bukti-bukti
video atau rakaman, mereka tetap akan menegakkan benang yang basah.
Paling menyedihkan sekali, masih ramai lagi orang yang
mempercayai kata-kata mereka dan bermati-matian mempertahankan idola-idola
mereka ini.
Sudah tiba masanya kita sedar terhadap permainan
politik merbahaya yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Memang jelas perbezaan
objektif yang dibawa oleh tiga buah parti dalam Pakatan Rakyat tidak mungkin
akan dapat membawa negara ini ke arah kemakmuran.
Apa yang mereka bawa hanyalah retorik, masalah-masalah
moral masing-masing serta perbalahan dalaman antara mereka sendiri. PAS yang
selama ini tegas menegakkan syiar Islam sudah boleh kita lihat sebagai sebuah
parti yang semakin liberal dan tunduk kepada desakan-desakan DAP dan PKR demi
sebuah penyatuan yang salah.
Siapa lagi yang harus menegakkan Islam kalau bukan
orang Islam sendiri? Fahaman pluralisme yang dibawa oleh Anwar Ibrahim kini
jelas telah merebak ke anak beliau. Adalah kita patut berdiam diri sahaja dan
duduk memerhatikan bagaimana nilai-nilai Islam semakin terhakis dalam
kalangan masyarakat kita?
|