Belajar Berfikir...

Salam sejahtera kepada rakan-rakan.....
Mulai hari ini aku ingin berbincang dengan kawan-kawan berkenaan belajar berfikir..... bagaimanapun aku bukannya arif sangat cuma nak kita sama-sama memberi pandangan dan pendapat berkaitan dengan berfikir ni.... kalau aku salah tolong pelbetulkan.... harap maaf juga kerana bahasa yang aku akan gunakan adalah bahasa mesreba, bahasa rojak bukan bahasa ilmiah sangat dan kadang-kadang ada dialet negeri aku... he3...

Oklah mari kita mulakan dengan Apa yang dimaksudkan berfikir... tahukah kawan-kawan apa itu berfikir? kalau nak diikutkan banyak difinisi yang diberikan tentang berfikir...

Mengikut Dewey,1933, berikir ialah daya usaha reorganisasi pengalaman dan tingkah laku yang dilaksanakan secara sengaja. Berfikir berlaku di dalam minda dan ia adalah proses sedar. Beliau melihat pemikiran sebagai perilaku menyelesaikan masalah. Manusia berfikir sebagai daya usaha untuk menyesuaikan diri kepada persekitaran yang sukar.

Tahukah kawan-kawan.... berfikir ni perlu belajar dan perlu dilatih. Ye ke?
Kita disuruh ke sekolah dan ke pusat-pusat pengajian adalah untuk belajar dan berlatih berfikir. Ingat tak masa kita bersekolah dulu, cikgu memberi kita suatu masalah dan dikehendaki menganalisis masalah itu dan mengemukan jawapannya. Betul kan?

Banyak sebab kita berfikir, bergantung kepada tujuan dan keperluan. Mari kita bincang apa yang menyebabkan kita berfikir....

Berfikir Kerana Disuruh Berfikir
Haa nilah yang kita alami masa sekolah dulu. Sekarang pun sama je. Mak dan ayah hantar kita ke sekolah untuk belajar berfikir. Duk kat umah pun bukannya tak berfikir tetapi berfikir tanpa belajar ni rendah sangatlah tahap pemikirannya.

Kat sekolah cikgu-cikgu beri kita sesuatu masalah sama ada masalah bahasa, masalah matematk, masalah sains dan apa-apa masalah lagi dan mintak kita cari penyelesaiannya. Setiap hari kita diberikan masalah dan kita diajar macamana nak menyelesaikannya. Kalau kita berjaya menyelesaikan masalah tersebut masalah baru jenis baru diberikan. Inilah yang dikatakan berfikir kerana disuruh berfikir....

Berfikir Kerana Terpaksa Berfikir
Biasanya kita berfikir apabila kita menghadapi situasi yang memaksa kita berfikir. Kadang-kadang kita berdepan dengan masalah yang tidak dapat diselesaikan dan ada kalanya pula kita menghadapi keadaan yang serba salah. Ada dilema di hadapan dan fikiran kita menjadi buntu, tidak tahu yang mana patut dipilih atau dilakukan.  Jadi kita terpaksa berfikir.

Berfikir Kerana Sengaja Mahu Berfikir
Kadang-kadang kita berfikir kerana kita sengaja nak berfikir, bukan kerana ada perkara yang memerlukan kita berfikir. Tetapi kita berfikir kerana ingin melakukan perkara yang baru atau menggunakan cara yang baru untuk melakukan tugas yang ada dengan lebih mudah. Atau pun bila kita boring duk saja-saja, jadi  kita sengaja berfikir untuk melakukan sesuatu bagi menghilangkan boring kita tu.


Berfikir Dengan Tujuan Memprotes
Ada kalanya kita berfikir dengan tujuan untuk melahirkan rasa tidak puas hati atau untuk membetulkan sesuatu yang kita anggap tidak betul atau pun tidak sesuai dengan pandangan kita. Berfikir jenis ini adakalanya baik dan ada masanya tidak baik. Baiknya bila apa yang kita protes itu memang patut diprotes dengan kata lain ada kesilapan yang berlaku atau ada perkara yang tidak betul berlaku dan mesti diperbetulkan. Yang tidak baiknya apabila keadaan itu memerlukan idea-idea yang kreatif bagi memperbaikinya kerana dalam keadaan begitu tidak ada apa yang silap atau tidak betul.

Berfikir Dengan Tujuan Mengkritik
Mengkritik ni memang seronok terutamanya mengkritik untuk mencari kesalahan orang. Namun mengkritik untuk kebaikan adalah perlu kerana setiap perkara yang dilakukan atau pun sesuatu yang dirancang perlulah diadakan perbincangan sebelum dilaksanakan supaya hasilnya lebih bermakna.


JENIS-JENIS PEMIKIRAN

Ramai pakar bidang berfikir telah mencipta dan menggunakan pelbagai istilah bagi menerangkan pelbagai jenis pemikiran. Kebanyakannya istilah-istilah itu merujuk kepada konsep-konsep pemikiran yang serupa antara satu dengan yang lain.

Pemikiran Logikal
Pemikiran logikal dipaksikan oleh daya usaha bagi mengenal pasti apa yang betul dan apa yang salah dari segi logik. Logik terbahagi kepada dua iaitu logik akal semata-mata dan logik berdasarkan realiti alam sebenar. Perkara yang betul daripada segi logik akal tidak semestinya betul apabila dilihat daripada sudut realiti alam dan kehidupan sebenar.

Logik berguna bagi melaksanakan perkara-perkara seperti mencari kaitan antara sebab dan akibat antara satu perkara dengan perkara yang lain atau antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Logik juga berguna bagi membuat kesimpulan ataupun deduksi. Dan logik juga berguna bagi mempertahankan hujah-hujah bagi menyokong atau menolak sesuatu idea, cadangan ataupun pandangan.

Pemikiran logikal mementingkan maklumat dan fakta. Kemahiran berfikir secara logikal mempunyai kaitan dengan pemikiran analitikal dan pemikiran kritikal. Walaupun pemikiran logikal ini penting tetapi pemikiran ini tidak dapat menerbitkan idea-idea baru.

Pemikiran Kritikal
Pemikiran jenis ini lebih kepada membuat kritikan negatif, iaitu mencari kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Kritikan selalunya lebih menjuruskan kepada serangan, cemuhan dan kutukan. Walau bagaimana pun mencari kesilapan adakalanya berguna kerana ia dapat menghindarkan kesilapan berulang dan kesilapan tersebut dapat diperbetulkan. Begitu juga dengan mencari kelemahan ada ketikanya dapat digunakan bagi memperbaiki kelemahan itu supaya menjadi lebih sempurna. Bagaimana pun, pemikiran yang hanya mencari kesilapan dan kelemahan tidak cukup bagi membolehkan seseorang mencapai keberkesanan intelektual.

Pemikiran kritikal mempunyai banyak kesan negarif. Pemikiran jenis ini membunuh pertumbuhan idea-idea baru dengan mematahkan semangat orang yang cuba mengutarakan idea-idea tersebut.  Pemikiran stail kritikal ini lebih terfokas pada hasrat membuktikan idea orang lain salah.

Pemikiran Kreatif
Pemikiran kreatif lebih kepada keupayaan pemikir melihat sesuatu daripada pelbagai sudut. Pemikiran ini juga menghasilkan pelbagai cara bagi melakukan sesuatu. Apabila berfikir dengan menggunakan pemikiran kreatif, matlamat berfikir ialah menerbitkan pelbagai persepsi, konsep, idea, cara menyelesaikan masalah, meleraikan konflik, reka cipta, strategi dan tektik, prosedur kerja, teori, hipotesis, peraturan dan hasil perundingan.