Ahad, 5 Oktober 2014

Kolej Komuniti Kuala Terengganu telah mengadakan Program Pembangunan Kemahiran Dan Sahsiah Serta Penjagaan Alam Sekitar di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. Program ini diadakan pada 23 September 2014.

Peserta program ini seramai 60 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 5 dan 6, komuniti Kampung Pulau Redang dan pelajar kolej.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi maklumat dan mendedahkan peranan Kolej Komuniti terhadap rakyat terutama komuniti luar bandar dan peluang-peluang pendidikan yang disediakan kepada pelajar lepasan sekolah yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA. Menurut Pengarahnya, antara kursus-kursus yang ditawarkan adalah fesyen dan pakaian, pemasangan elektrik, servis kenderaan ringan, pelukis plan senibina dan teknologi pembinaan.

Pada program ini beberapa aktiviti telah diadakan iaitu memasak nasi briani, urut kaki dan membuat kraf tangan. Peserta program telah didedahkan cara-cara memasak nasi briani, mengurut kaki dan membuat kraftangan ringkas.





Jumaat, 12 September 2014

9 September hingga 11 September 2014 aku ditugaskan untuk mengawas Peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong. Dah lama aku tak ke SKBG ni. Seingat aku, kali terakir ialah pada 2004. Ketika tu aku menjalani latihan pratikum Guru Bimbingan Dan Kaunseling selama 2 minggu.

Sebenarnya SKBG ni ialah sekolah aku semasa aku mula bersekolah iaitu pada Tahun 1971. Aku bersekolah di SKBG ni sehingga 1975.  Pada 1976 iaitu ketika belajar dalam Tahun 6 aku telah berpindah ke SK Kebangsaan Peroh, Ajil.

Suasana SKBG sekarang ni begitu jauh bezanya kalau nak dibandingkan masa aku bersekolah di sini dahulu. Dulu ada 2 buah bangunan je. Bangunannya pula hanya separuh batu. Sebuah bangunan tu hanya berdindingkan jaring di bahagian atasnya. Sebuah bangunan lagi, berdinding separuh kayu. Di bangunan inilah terletaknya bilik guru dan pejabat. Sayangnya aku tak mempunyai gambar untuk aku kongsikan. Sekarang, suasana sekolah SKBG ni sama dengan sekolah-sekolah yang ada sekarang sesuai dengan peredaran masa dan era kemajuan negara. Alhamdulillah syukur, anak-anak sekarang dapat belajar dalam suasana yang selesa dan penuh dengan kemudahan.








SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH

Gambar-gambar sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat sekolah yang telah diadakan pada 2 September 2014.





PROGRAM SEMBAHYANG HAJAT PERDANA

Program Sembahyang Hajat Perdana Sempena Peperiksaan UPSR 2014 SK Pulau Redang telah diadakan pada 1 September baru-baru ini. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi sokongan kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR  dan juga untuk memohon keberkatan daripada Allah s.w.t supaya pelajar-pelajar berkenaan dapat menjalani peperiksaan dalam suasana yang tenang serta dapat menjawab dengan sebaiknya.

Program ini disertai oleh semua guru dan para ibubapa pelajar Tahun 6. Selain sembahyang hajat, program ini juga diisi dengan acara bacaan yasin, taklmat dan ucapan daripada guru-guru yang mengajar matapelajaran utama Tahun 6 serta ceramah motivasi ringkas. Satu acara yang agak unit telah diadakan iaitu acara memandikan pelajar. Acara ini dilakukan oleh para ibubapa. Mereka akan memandikan anak masing-masing. Tujuan acara ini adalah untuk menghilang segara sikap buruk, malas belajar, lemah pemikiran dan membuang sikap sambil lewa dalam melakukan sebarang tugasan dan pelajaran.






Rabu, 20 Ogos 2014

Assalamualaikum....

Dah agak lama tak update blog ni, maklumlah sejak bertukar jawatan ni suasana kerjanya agak berbeza. Dulu ada gak ruang untuk menulis, tapi sekarang ni ruang masanya amat terbatas. Lagi pun kat tempat baru ni line internetnya agak perlahan dan kekadang tu tak de terus. Malahan, ada ketikanya sampai seminggu tak de line. Sabo je le.... Tambah pula mood nak menulis dah tak seberapa.....

Entah kenapa tetiba je malam ni terasa nak cuba on and update blog ni. Line internetnya pun boleh tahan gak, adalah semangat sikit... tapi idea pulak tak de, tak tau nak mula dari mana, apa yang nak ditulis. Mungkin dah lama tak menulis kot.

Cuaca malam ni agak sejuk, kat luar tu angin bertiup kencang diiringi hujan renyai-renyai. Bilik aku kat aras 4 kuarters ni sentiasa terdedah dengan rempuhan angin yang kuat. Kadang-kadang terasa takut dibuatnya. Sebenarnya dah agak lama tak hujan, malam tadi je baru mula hujan. Segar sikit nampaknya rumput-rumput kat padang depan kuarters ni. Alhamdulillah syukur...

Diam tak diam dah setahun aku bertugas kat sini. 29 Julai lepas genap setahun aku kembali menjadi seorang guru. Seronok juga rasanya kat sini. Suasana kampung yang aman, tak de bunyi bising kenderaan yang ketara, sesekali je kedengaran enjin motosikal melewati pagar tepi kuarters. Maklumlah kat sini tak banyak kenderaan, kereta ada beberapa buah je tu pun sebahagian besarnya dah uzur, roadtax kebanyakannya tak de. Keadaan ini disebabkan kenderaan besar payah nak dibawa masuk, lagi pun tak guna gak bawa masuk kenderaan besar kerana kawasannya tak berapa luas. Motosikal dah memadai. Aku pun ada sebuah motosikal buruk yang aku beli dari kawan yang bertukar awal tahun baru ni. Kau orang mungkin tak percaya, harga motosikal tu RM150 je. He3... elok lagi, masih power... enjin tip top. Bolehlah aku buat ronda-ronda kawasan kampung dan keluar ke kedai. Kadang tu sekali sekala ke pantai menikmati pemandangan pantai yang indah dan mempesonakan. Bolehlah menghilangkan rasa rindu kat keluarga di kampung.




Setakat ni je dulu aku tulis untuk malam ni, ada kesempatan sambung lagi.... bye