Salah satu intipati utama dalam
Amanat Hadi yang mendorong ramai pengikut PAS percaya dan yakini yang UMNO
adalah kafir ialah ungkapan "politik suku agama suku" yang difahami
oleh penyokong PAS ia merujuk pada fahaman yang kononnya menjadi pegangan UMNO.
Rentetan dari situ, para penyokong
PAS beriktikad dalam hati dan tutur katanya bahawa menyokong UMNO adalah haram
di sisi Islam dan jika mengundi BN hukumnya kafir atau akan gugur akidahnya.
Kepercayaan songsang sebegini berlaku
kerana wujudnya sikap taksub buta tuli yang dikembang biak oleh pemimpin PAS
dan ia bertambah parah apabila dalam mana-mana ceramah di pentas politik PAS
tidak pernah lupa memainkan propagandanya bahawa UMNO juga menolak Islam.
Kesan daripada doktrin sedemikian
akhirnya terus terpahat kukuh di sanubari ramai pengikut PAS tanpa sekelumit
pun timbul persoalan sejauh mana benarnya dakwaan songsang pemimpin-pemimpin
PAS yang hanya bermodalkan air liur itu.
Langsung tak terdetik di hati mereka
betulkah pemimpin UMNO mengemudi parti dengan bersandarkan pegangan bahawa
politik suku dan agama suku atau dengan maksud lain politik dan agama Islam
mesti diasingkan...?
Tak terlintas di benak mereka untuk
bertanya lebih lanjut apakah menyokong UMNO benar-benar akan menyebabkan akidah
gugur atau terpesong seterusnya menjadi kafir dan tak termungkin mencium bau
syurga di akhirat kelak?
Jawapan-jawapan kepada persoalan
tersebut sebenarnya tidak sukar untuk ditemui jika pengikut PAS dan pemimpinnya
ikhlas meletakkan kebenaran hakiki melampaui kepentingan politik kepartian.
Sebetulnya, sebagaimana penganut
Islam yang lain, para pemimpin UMNO, ahli dan penyokongnya senantiasa berpegang
teguh bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam.
Bezanya antara UMNO dan PAS ialah,
UMNO memperalatkan kuasa politik demi kepentingan agama serta memartabatkan
Islam, di masa yang sama memanfaatkan kuasa yang diperolehi untuk manfaat orang
Melayu Islam.
Manakala PAS pula, mempergunakan
agama Islam untuk mengejar laba politik duniawi demi memenuhi selera peribadi.
Dek kerana itulah walaupun kalimah Allah s.w.t dituntut oleh mubaligh dan
paderi Kristian, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa berselindung
telah mempersetujui tuntutan tersebut.
UMNO sejak ia ditubuhkan hingga
sekarang sentiasa peka dengan tuntutan ummah apabila berjaya memperjuangkan
martabat agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Negara.
Dan Perlembagaan Negara yang
terbentuk dari hasil perjuangan UMNO itulah yang kini mahu dipertahankan oleh
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melalui Buku Jingga yang ditandatanganinya
sendiri.
Walhal lebih 3 dekad lalu dalam
Amanat Hadi pada 1981, beliau mengajak penyokong PAS menentang Perlembagaan
Negara yang didakwanya adalah perlembagaan jahiliah, sekular dan kafir.
Jika benar UMNO mengamalkan fahaman
"politik suku agama suku" sebagaimana dipropagandakan oleh PAS,
nescaya jadi sekularlah negara kita sebagaimana Indonesia yang menetapkan
Pancasila sebagai roh negaranya ataupun menjadi seperti Turki yang menetapkan
agenda sekular sebagai pegangan negara.
Dalam hal "politik suku agama
suku" para pengikut PAS sepatutnya menuntut pemimpin mereka supaya
mencerminkan muka sendiri untuk mengetahui siapa sebenarnya mengamalkan
pegangan songsang itu.
Bukankah Nik Aziz pernah
memperlekehkan teguran Mufti Perak, Ustaz Harussani Zakaria dengan meminta Tuan
Mufti yang lantang bersuara itu supaya menjauhi politik? Tidakkah itu bermakna
Mursyidul Am PAS tanpa sedar mahu mengasingkan politik dan agama...?
Begitu juga apabila Naib Presiden
PAS, Salehuddin Ayub menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjauhi
unsur politik, bukankah gesaan itu bermatlamat menghalang teguran pihak JAKIM
berkaitan politik sekaligus memberi gambaran PAS menolak campurtangan Jabatan
Agama dalam hal politik...?
Malah Ketua Dewan Ulama PAS, Haron
Taib juga pernah dengan lagak egonya mempersoalkan campurtangan Mufti Perak dan
Mufti Wilayah Persekutuan berikutan teguran mereka berdua berhubung kesesatan
Amanat Hadi.
Kesemua
tingkah laku pemimpin-pemimpin PAS itu segalanya menjurus kepada "politik
suku agama suku". Bukan begitu....?